Wednesday, April 04, 2007

Suatu Kepastian....Yang Mungkin Menyakitkan!

Tahukah engkau
pada angin semalam telah kupesankan
agar kau tidak sesekali mengharapkan
pada sesuatu yang telah aku bataskan!

Dalam kekeliruan ini pun
aku cuba mencari perkaitan yang rapat antara kita
perkenalan semusim yang lalu
menghadirkan seribu rasa penuh pengertian
tapi tidak pula ia menjanjikan apa-apa
yang indah atau menyakitkan
yang pahit atau mengasyikkan
setia bersatu dalam satu rentak
yang tidak pernah pula menjemukan.

Disaat inipun
perkaitan itu belum lagi kutemui
walau kadangkala yang kurasai itu adalah kepahitan
namun manisnya tetap tersemadi disini.
Antara kita
tidak pernah pula aku meletakkan apa-apa harapan
kerna keyakinan telah kulempar jauh
pada lewat pengalaman yang menyakitkan.

I...
pernah aku terfikir
jika aku cuba mencari noktah pada perkaitan ini
adakah kau akan gentar?
walau hatiku sendiri gentar untuk kutemui kepastian
tapi aku lebih takut pada kemungkinan yang akan berlaku
dan hanya satu kusandarkan harapan
agar jangan sesekali kau nantikan
pada sesuatu yang aku sendiri tidak pasti.

Kerna penantian itu adalah suatu penyeksaan...
buatku!

aaa
Warna Diri
31 Julai 2000
Langkawi

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Free Blogger Templates Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP