Sunday, March 25, 2007

Sekeping Poskad Kecil Mu, Membawa Aku Merenung Akan Hal-Hal Yang Lain

Kunjungan poskad kecil mu menjadi tetamu ku pada pagi itu
walaupun pada mulanya aku gagal mengecam akan pengirimnya
ia bagaikan satu nama yang telah lama dilupakan
kerana itu aku pun berfikir panjang
dan kesempatan itu membawa aku pada mu
untuk kali keduanya
aku membaca lagi akan bibit-bibit kata mu
selesai saja...aku memandang pada sudut yang jauh
terukir senyuman pertama pada permulaan hari ini

Aku belum lagi puas memandang poskad mu di tangan
tapi tidak pula aku membacanya berulang-ulang kali
pada setiap ketika aku merenung akan poskad kecil mu
sebenarnya aku merenung akan hal-hal yang lain
tentang erti perkawanan dan kejauhan
ia bukanlah dua pekara yang mahu dipelikkan
meskipun ada waktu-waktunya
aku sendiri gagal menjawap pertanyaan
akan hal-hal sebegitu

Kau dan aku sememangnya jauh
itu tidak payah diragukan lagi
namun hingga ke hari ini
kita masih menjunjung erti perkawanan
bertemu pada helaian-helaian kertas
yang jarang-jarang kau kirimkan
aku sudah cukup puas sekadar begitu
kerana apa yang penting
kita tidak saling melupakan akan kita

Aku pun punyai cerita-cerita lain
tentang terputusnya khabar beberapa teman
bukan tidak pernah aku mengirimkan surat
namun tidak pula ku terima apa-apa balasan
entah mengapa begitu
dan penantian menjadi satu rutin yang begitu membosankan
aku pernah berputus asa tetapi tidak marah
kerana manusia tidak dapat lari
dari alasan ke satu alasan
yang sengaja dan tidak disengajakan

Kejauhan ini tidak meragut erti persefahaman dalam diri ku
juga tentang perkawanan dan kemesraan
walaupun sejauh mana kita
kau dekat di hati...itu adalah lebih penting
dan aku terus mengait benang-benang kasih yang terjalin
walaupun ada kalanya ia tergendala
kerana kita semestinya sudah terlalu faham
bahawa manusia adalah permainan waktu
aaaaaa
Ayu
25 April 1999
No. 2 Jalan Bukit, Kulim

1 comments:

Anonymous,  5:05 PM  

You write very well.

Related Posts with Thumbnails

  © Free Blogger Templates Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP